Sebagai peminat atau pemakai jeans dan denim, pernahkah anda mendengar tentang “The Osaka 5” ? Tahukah anda bahawa kebangkitan denim Jepun tidak bermula di Tokyo, – sebaliknya ia telah berlaku di Osaka, sebuah wilayah yang berenergi dan sangat santai. Asal usul gerakan ini telah ditelusuri pada tahun 1979, ketika Shigeharu Tagaki mula mendirikan jenama dan produk denim bernama Studio D’Artisan.

Pada ketika itu (sehingga ke hari ini), kecintaan masyarakat Jepun terhadap budaya dan pengaruh dari Amerika memberi kesan terhadap kehidupan seharian dan fesyen mereka. Cara berpakaian tokoh-tokoh ikonik Amerika seperti James Dean dan Marlon Brando menjadi ikutan kebanyakkan golongan bekerja dan remaja di Jepun. Era di mana jika mereka mempunyai sepasang jeans vintaj Levi’s dan kereta lama Amerika, mereka boleh berimaginasi seperti berada di pesisiran pantai Miami sambil berpelesiran dengan gadis berambut perang atau melepak di sekitar Brooklyn, New York.

Sejujurnya, kami tidak menggunakan gelaran ini di Jepun

Yuya Hisatani, Studio D’Artisan

Siapakah “The Osaka 5”

Kecintaan ini juga telah melahirkan jenama-jenama yang telah mendapat pengiktiran antarabangsa dan di gelar sebagai “The Osaka 5”. Mereka telah menjadi pelopor dalam mengembalikan kegemilangan industri denim jepun yang mengalami kemerosotan kualiti akibat lambakan jeans dengan rekaan yang tidak menarik (hilang ciri-ciri klasik jeans) dan kain yang tidak dicelup dengan baik.

Osaka 5Tahun PenubuhanPengasas
1Studio D’Artisan1979Shigeharu Tagaki
2Denime1988Yoshiyuki Hayashi
3Evisu1991Hidehiko Yamane
4Fullcount1992Mikiharu Tsujita
5Warehose1995Shiotani Brothers

Era awal

Pada era awal penubuhan Studio D’Artisan, Tagaki memegang kuat falsafah asal (selvedge indigo tulen) dalam idea penghasilan jeans sehingga terlahirnya jeans jenis DO-1 pada tahun 1986. Ia merupakan replika asli jeans yang ditenun menggunakan mesin tenun 27 inci dan proses penghasilan serta pencelupan benang memakan masa yang lama, harga yang kenakan pula sekitar 29,000 yen untuk sepasang jeans jelas amat mahal untuk masa itu.

Yoshiyuki Hayashi

Denime merupakan antara syarikat terawal yang mendapat tempias daripada ledakan yang dimulakan oleh Studio D’Artisan. Dengan imej yang lebih konvensional dan bersih, ia melahirkan repro jeans yang lebih menyerupai vintaj Levi’s berbanding dengan jenama yang lain. Ditubuhkan pada 1988 oleh Hayashi Denime, selepas lebih sedekad sekitar 2000an syarikat ini telah diambil alih oleh Hitoshi Fujimoto yang merupakan pengasas kepada The Real McCoys’s melalui rangkaian runcitnya, Nylon.

Menghasilkan sesuatu yang bermutu dan bagus telah menjadi sebahagian daripada darah daging masyarakat Jepun

Yoshiyuki Hayashi

Keberanian dan imaginasi

Seperti yang diketahui, Hidehiko Yamane bukanlah yang pertama memulakan ledakan indigo jeans jepun, tetapi beliau merupakan yang paling ikonik dan berpengaruh di antara yang lain. Keberaniannya menongkah arus serta obses dengan kualiti jeans vintaj telah mendorong Yamane dan rakan seterunya ketika itu, Mikiharu Tsujita melahirkan model jeans Evisu lot 2000/2001 dengan siri no 1, no 2 dan seterusnya. Sentuhan cat Seagull dan Daicock yang terletak pada poket atau punggung seluar telah menjadi sungguh ikonik dan terkenal bukan setakat di Jepun malah menjadi ikutan di seluruh dunia.

“Evisu telah merasainya terlebih dahulu sebelum yang lain melakukannya”, Hidehiko Yamane

Tidak menunggu lama, rakan kroni Yamane, Tsujita memulakan pula jenama Fullcount. Sifat sentiasa ingin menjadi yang pertama telah mendorong Tsujita menggunakan kapas serat panjang yang lembut dari Zimbabwe. Idea asalnya apabila menggunakan material ini adalah untuk memberi pengalaman yang berbeza, “anda akan merasakan bahawa jeans ini sangat baik sehingga anda tidak mahu melepaskan sehingga anda tidur”. Sisi ini menjadikan Fullcount antara syarikat terawal yang bereksperimen dengan kain yang lebih berat.

Adik bongsu Osaka 5

Kembar Shitoni berusaha keras menjayakan jenama Warehouse. Diasaskan pada tahun 1995, Warehouse tidak hanya fokus pada konsep asal seluar vintaj, dengan sentuhan idea yang datang dari mereka telah melahirkan jeans terunggul keluaran mereka iaitu 1001XX. Setiap perincian seperti benang berkait yang ditenun bersilang, butang besi, tab poket rayon dan disertakan dengan pai kulit rusa sudah cukup untuk memberi kelainan pada jeans itu. Kualiti yang sangat berbeza jika hendak dibandingkan dengan jeans konvesional yang lain.

Revolusi yang menjadi ikutan

Jelas syarikat-syarikat Osaka 5 ini telah meletakkan industri jeans di Jepun pada aras yang berbeza. Asas yang terbina ini telah menjadi penanda aras kepada beberapa jenama baru seperti Pure Blue, Samurai dan lain-lain bagi menghasilkan jeans untuk keluaran mereka. Mereka inilah yang telah memberi nafas baru bagi industri tekstil yang berada di Kurashiki, Okayama yang pada ketika itu boleh diibaratkan bagai retak menanti belah. Walaupun setiap daripada mereka membawa pandangan yang berbeza tetapi itulah yang menjadi keunikkan bagi setiap jenama ini. Pada ketika ini, walaupun industri jeans Jepun jelas dipenuhi dengan lambakan jenama jeans yang hebat, tetapi ingatlah, tanpa ideologi dan pengaruh awal Osaka 5 ini, mungkin industri ini telah ternoktah awal sebelum sempat menghentam dunia.