Tak lama lagi kita akan menjalani ibadah puasa pada bulan penuh barakah, iaitu bulan Ramadan. Pejam celik, pejam celik, dah Ramadan. Kejap betul masa berlalu, bukan?

Kalau dulu bulan Ramadan disambut dengan aktiviti ke masjid, ke bazar Ramadan dan macam-macam lagi. Tetapi, pada tahun ini kita menyaksikan perubahan apabila terpaksa menyambut Ramadan dalam keadaan kita hanya boleh berada di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak virus COVID-19 ini berlangsung.

Berpuasa dalam musim PKP ini bukan bererti kita hanya boleh dalam keadaan lesu dan letih saja. Kita kena kekal bertenaga juga ok! Nak tahu macam mana tips berpuasa dan kekal bertenaga walaupun hanya di rumah? Teruskan membaca!

Minum banyak air

Perkara yang paling penting dan mudah dilakukan untuk kekal aktif ialah minum air dengan secukupnya. Macam mana nak minum air dengan cukup kalau berpuasa? Mudah saja, banyakkanlah meminum air pada malam hari dan ketika bersahur.

Air kosong atau air manis? Seeloknya air kosong. Air manis bukannya tak boleh minum, boleh je minum. Tapi air kosong harus menjadi keutamaan. Apabila badan anda mempunyai cukup air, badan tidak akan mudah untuk menjadi letih dan lesu. Muka pun akan jadi glowing kalau kita cukup minum air. Orang putih kata, hydration is the key!

Lakukan aktiviti rumah

Apabila anda tidak melakukan apa-apa, mulalah perut mengeluarkan bunyi. Siapa pernah alami situasi ni? Mesti ramai, kan? Untuk mengelakkan perut anda mengeluarkan bunyi, sibukkan diri anda dengan melakukan aktiviti rumah. Berkebun ke, mengemas rumah ke, bertukang ke, macam-macam aktiviti boleh buat.

Berpuasa bukan bermakna cuti dengan segala aktiviti-aktiviti rumah. Sebaiknya teruskan, cuma jangan terlalu memaksa diri okay guys?

Bersenam

Okay, soalan pertama yang terlintas dalam fikiran anda mesti berbunyi begini:

“Tak ke haus kalau bersenam nanti?,” tanya Kak Siti (bukan nama sebenar)

Jika anda menjalani kehidupan secara sihat, pemakanan yang terjaga, dan air yang cukup dalam badan, sudah tentu badan akan menjadi bertenaga untuk bersenam.

Tak perlulah bersenam yang terlalu ekstrim. Cukuplah sekadar untuk membuatkan anda rasa bertenaga dan segar!

Banyakkan makanan berkhasiat

Ini amat penting untuk diamalkan oleh setiap orang. Makanan semasa sahur adalah seperti sarapan kalau hari biasa. Jadi, pastikan anda tidak mengamalkan makanan yang pedas dan terlalu banyak minyak ketika sahur.

Makanan sebegini akan menambahkan rasa tidak selesa kepada perut dan akan membuatkan perut anda lapar. Sebaliknya, makan makanan yang kurang minyak, sayur-sayuran dan buah-buahan ketika sahur supaya khasiat yang diperolehi dapat menampung tenaga pada siang hari.

Tidur yang cukup

Tidur pun penting juga ya. Badan anda perlu tidur, recharge untuk kekal bertenaga keesokkan harinya. Ini kerana anda perlu bangun untuk sahur semula.

Kalau tidur dah lambat, macam mana nak bangun sahur? Kalau sahur awal,nanti esok cepat lapar pula. Oleh itu, pastikan anda tidur sebelum pukul 12 tengah malam supaya anda akan bertenaga untuk bangun sahur dan melakukan aktiviti lain pada keesokkan hari.