Tatkala dunia sedang dilanda virus bahaya, masyarakat kini meluangkan masa dengan telefon bimbit hampir sepanjang masa untuk mengetahui info-info terkini.

Macam-macam aplikasi yang membolehkan kita mendapat berita dengan kadar yang sangat pantas. Aplikasi seperti WhatsApp, Twitter dan Facebook antara tiga aplikasi yang popular dalam kalangan masyarakat, tanpa mengenal umur.

Namun, apabila hampir segala maklumat di hujung jari, kita juga akan terdedah dengan berita-berita tidak benar, atau dalam bahasa Inggerisnya, fake news. Tak perlu jauh, perhatikan info-info yang diforward ke dalam WhatsApp anda, berapa banyak yang betul, berapa banyak yang direka?

Ramai di antara kita menghebahkan berita-berita tidak benar tanpa menyemak kesahihan berita itu. So macam mana nak lindungi diri anda daripada percaya berita tidak benar? Ikuti langkah ini.

Periksa laman web yang disebarkan

Zaman serba moden sekarang ini membolehkan sesiapa saja boleh menulis di laman web. Ramai juga yang tiba-tiba menjadi ‘doktor’ dengan menulis cara-cara mengatasi Covid19 yang sebenarnya anda hanya perlu membuat saringan kepada doktor di hospital!

Pastikan link yang disebarkan adalah link daripada laman web yang sah, seperti portal utama Kementerian Kesihatan Malaysia dan bukanlah laman web yang bukan-bukan.

Selidik penulis tersebut. Adakah mereka doktor perubatan sebenar? Atau hanya memandai-mandai untuk mendapatkan traffic dan view yang ramai?

Alamat laman web juga boleh diperiksa. Kebiasaannya, URL selalu diakhiri dengan “.com” atau “.my”, jadi jika anda melihat sesuatu yang berbeza, baca boleh, percaya jangan, sebar lagi lah jangan.

Double check dengan portal-portal berita rasmi

Sejurus saja anda curiga dengan sesuatu info yang anda dapat, segeralah periksa dengan portal-portal berita seperti awani.com, hmetro.com, beritaharian.com atau mana-mana portal berita yang diiktiraf.

Portal-portal ini lebih terjamin kesahihan beritanya daripada individu-individu yang tidak dikenali. Para pengamal media bekejar sana-sini untuk dapatkan berita yang sahih kepada anda secepat yang mungkin.

Gunakan common sense

Paling mudah, gunakanlah common sense yang diberikan. Hanya kerana pakcik anda ‘terdengar’ sesuatu berita daripada jiran, tak semestinya betul. Perhatikan ayat dan tanda bacaan yang digunakan, banyak ejaan salah? Tanda seru sana sini? Haa, hentikan bacaan anda disitu.

Jangan bazirkan masa anda dengan berita-berita tidak sahih ini. Berita tidak benar ini bukan saja menyebabkan kucar-kacir, tapi ia juga dapat memberi impak kepada kesihatan mental kita.

Ambil maklumat daripada sumber yang benar dah boleh dipercayai. Kesihatan fizikal penting, begitu juga dengan kesihatan mental kita. Usah biarkan sosial media membuatkan anda stress.