Frasa panic buying atau pembelian cemas sekarang ini cukup terkenal dalam kalangan masyarakat kita. Belum sempat Perdana Menteri kita mengumumkan apa-apa, sudah ada yang melakukan panic buying.

Ini semua gara-gara berita tidak benar yang disebarkan oleh individu-individu tidak bertanggungjawab melalui laman sosial yang mendatangkan cemas kepada ramai.

Kerajaan juga berkali-kali mengingatkan supaya jangan lakukan pembelian cemas. Namun, masih ada yang melakukanya. Pembelian bekalan untuk rumah tidak salah dilakukan. Yang menjadi kesalahan apabila ada individu yang membeli lebih daripada yang diperlukan.

Banyak akibat yang kita boleh dapat sekiranya rakyat masih melakukan pembelian cemas ini. Antaranya, virus covid19 boleh tersebar kerana masing-masing berpusu-pusu membeli belah tanpa menghiraukan social distancing. Bukan itu sahaja, sikap pentingkan diri sesetengah individu yang membeli barangan lebih daripada keperluan akan memberi impak negatif terutamanya kepada golongan yang lebih memerlukan.

Jadi, sebelum ramai yang terkesan akibat pembelian cemas ini, mari ketahui sebab-sebab penting kenapa anda tidak perlu lakukan pembelian cemas.

  1. Bekalan makanan dijamin cukup

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa bekalan makanan asas cukup. Perdana Menteri turut memaklumkan telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya sentiasa memantau situasi bekalan makanan dan keperluan harian di pasaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa.

Bekalan cukup untuk semua sekiranya kita bekerjasama untuk tidak lakukan pembelian cemas.

2. Pasar raya, kedai runcit masih dibuka

Dalam tempoh Perintah Pergerakan Kawalan, kedai-kedai yang menjual keperluan asas masih dibuka. Jadinya, anda tidak perlu membeli stok untuk setahun. Belilah barangan rumah berpada-pada. Sekiranya tidak cukup atau habis, anda boleh ke pasar raya untuk menambah stok.

3. Barang ada tempoh hayat

Bayangkan lah dalam banyak-banyak barang yang anda beli, semuanya tempoh hayat tidak lama lagi. Lagi-lagi barang mentah. Tak ke rugi? Daripada anda rugi, dan pembaziran berlaku, elakkan lah pembelian cemas. Bukan saja anda yang rugi, tapi individu-individu yang lain juga rugi di atas pembaziran yang anda lakukan.

4. Mendatangkan cemas kepada orang lain

Kalau diperhatikan, individu-individu yang membuat pembelian cemas ini sering memuatnaik gambar troli yang penuh, bonet kereta yang penuh. Tindakan ini boleh mendatangkan rasa cemas dan panik orang lain yang melihatnya. Bayangkan lah gambar yang anda upload menjadi viral, tidak kah anda rasa bersalah?

Tak salah nak berjaga-jaga, tapi ingatlah orang lain juga ya. Jadi, kekal tenang dan elakkan pembelian cemas!