Wabak virus korona yang sedang menular hampir ke seluruh dunia ini bukan sahaja mendatangkan kerisauan orang ramai tentang simptom-simptomnya, malah muncul persoalan adakah virus ini boleh tersebar melalui barang?

“Takut nak beli barang dari China, Jepun, Korea. Iyelah dekat sana virus koronavirus teruk. Tapi betul ke virus ni boleh tersebar melalui barang?”

Kerisauan ini melanda orang ramai terutamanya yang sukakan online shopping. Terlalu banyak spekulasi berkaitan dengan cara penyebaran virus ini. Walaupun telah dilaporkan berkali-kali, spekulasi dan persoalan ini masih wujud. Namun, untuk menjawab persoalan ini, anda perlu fahami cara virus ini merebak.

Virus korona baharu mempunyai struktur dan penyebaran yang lebih kurang sama dengan virus korona lain seperti SARS-CoV dan MERS-CoV. 

Ia boleh tersebar melalui titisan udara (bersin dan batuk), dan sentuhan dengan individu mempunyai simptom-simptom. Virus ini mudah dijangkiti sekiranya individu tidak memakai alat perlindungan seperti muka.

Baru-baru ini tular di media sosial kononnya koronavirus ini boleh tersebar melalui permukaan barang yang diimport dari China.

Pakar penyakit berjangkit, Dr Christopher K C Lee, menyifatkan berita itu tidak benar. Ini kerana kebanyakan virus bertahan dalam sesuatu persekitaran antara beberapa jam sehingga beberapa hari.

“Walaupun kita kurang data mengenai coronavirus, kita beranggapan ia seperti SARS dan influenza yang tidak berterusan lama dalam persekitaran, jadi tahap penularan wabak melalui barangan sangat rendah,” tambahnya melalui laporan Berita Harian.

Tambahan lagi, tiada laporan rasmi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan mereka yang membeli barangan daripada China berisiko untuk mendapat jangkitan.

Malah, pihak berkuasa China telah mengumumkan bahawa mereka akan menangguhkan jadual penghantaran dan membuat pembasmian kuman sebanyak dua kali bagi memastikan barangan tersebut betul-betul bebas daripada virus korona.

Oleh itu, anda dinasihatkan untuk tidak terpedaya dengan maklumat yang tidak berasas yang tular di media sosial. Ia bukan saja tidak benar, tapi berita itu boleh mendatangkan panik dalam kalangan masyarakat.