Beberapa hari yang lepas, dunia digemparkan dengan berita kematian bintang bola keranjang Amerika Syarikat, Kobe Bryant bersama anak perempuannya yang maut dalam nahas helikopter di California.

Kematian Kobe pada usia yang muda, 41, memberi impak yang besar dalam industri sukan dunia. Ramai menzahirkan rasa sedih atas kehilangan lagenda itu.

Namun, apa yang menyedihkan lagi apabila sesetengah pihak telah mengambil kesempatan di atas berita kematian Kobe.

Menurut akbar antarabangsa, Metro UK, Kobe merupakan duta kepada jenama ternama, Nike, sejak tahun 2003. Portal-portal e-dagang yang menjual balik kasut-kasut Kobe meletakkan harga yang sangat tinggi selepas berita kematian Kobe tersebar seluruh dunia.

Sejurus dengan berita ini, jenama ternama, Nike, telah menghentikan segala penjualan produk yang melibatkan Kobe Bryant.

Walaubagaimana pun, hentian ini hanya dilakukan pada jualan atas talian. Ia bertujuan untuk mengelakkan reseller meletakkan harga yang tinggi. Menurut Metro UK lagi, sepasang kasut telah dijual balik sehingga £100, sebuah angka yang jauh berbeza dengan harga asal yang dikeluarkan Nike.

Bukan itu sahaja, kasut yang dijual di stor-stor Nike turut habis dijual dalam jangka masa yang sangat pendek.

Dalam dunia dilanda kesedihan, Nike juga turut menzahirkan rasa sedih atas kematian Kobe. Rasa sedih itu dikongsi dalam laman twitter rasmi Nike.