Okay, cuba kira balik berapa helai baju yang anda beli setahun? Tak mungkin sekadar satu, dua atau tiga. Kalau ada sale mesti kena beli, bukan? (walaupun baju tu kita dah ada, cuma warna je berbeza) Ha, sesetengah wanita can relate, betul tak?!

Itu belum kira baju raya, atau mana-mana perayaan. Mana boleh satu! Paling kurang pun dua pasang untuk seorang.

Tapi tahukah anda bahawa industri fesyen merupakan pencemar alam sekitar kedua terbesar di dunia selepas industri minyak dan gas (O&G)?? Sebanyak 80 juta pakaian baru dihasilkan pada setiap tahun!

Menyedari tentang kesan buruk lambakan baju yang tidak terpakai, maka terlahirlah kolaborasi di antara Binqareem X Bandoru.

Buat anda yang baru saja mendengari tentang jenama Binqareem, Binqareem merupakan satu jenama yang mengeluarkan pakaian kasual untuk golongan lelaki. Manakala Bandoru pula merupakan sebuah jenama yang sinonim dengan pakaian terpakai yang berkualiti tinggi.

Menggunakan pakaian tradisional Jepun, Kimono yang terpakai, kolaborasi ini telah menghasilkan beberapa pakaian baru yang bukan sahaja menarik, malah penuh dengan kreativiti.

Apa yang menarik dengan kolaborasi ini adalah apabila pakaian yang terpakai diberi nafas baru dengan sentuhan moden dan sememangnya sesuai dipakai sebagai pakaian harian.

Menurut pengasas Binqareem, Azlan Karim, kolaborasi ini bukan saja dapat menghasilkan rekaan-rekaan yang menarik, malah ia juga dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap pakaian terpakai.

“Saya berharap kolaborasi BinqareemXBandoru ini dapat memberi kesedaran dan informasi baru kepada audience di Malaysia bahawa pakaian lama juga boleh menjadi menarik jika kena caranya,”

Azlan Karim

Apa yang menarik mengenai kolaborasi ini adalah ia telah pun ke peringkat antarabangsa sehingga diperagakan di Malang Fashion Week 2019, Indonesia! Hebat, bukan?

Anda pun sebenarnya boleh cuba buat pakaian baru menggunakan pakaian terpakai. Selain dapat mengurangkan pencemaran, duit pun jimat!