Dunia sedang gempar dengan kebakaran teruk yang melanda hutan di Australia. Dikatakan kebakaran ini merupakan kebakaran hutan yang paling buruk pernah berlaku dalam berpuluh-puluh tahun sejarah negara itu.

Anda ingin melancong ke Australia? Ini beberapa perkara yang anda perlu tahu.

Bagaimanakah keadaan kebakaran di Australia?

Sebahagian hutan besar di Australia musnah sejak kebakaran yang bermula lewat September 2019. Ia melibatkan beberapa daerah seperti Victoria, New South Wales dan South Australia.

Penulis daripada Australia, Richard Flanagan ada melaporkan api yang membakar Australia kali ini adalah tiga kali besar daripada kebakaran hutan di California pada tahun 2018, dan enam kali besar daripada kebakaran di Amazonia pada tahun 2019.

Tak dapat bayangkan bagaimana besar kebakaran di Australia? Lihat gambar di bawah.

Sumber gambar: BBC

Kebakaran yang menyayat hati ini telah meragut 23 nyawa, lebih 1500 musnah dijilat api dan beribu haiwan juga terbunuh.

Kebakaran ini juga telah mendesak kedua-dua daerah Victoria dan New South Wales untuk mengisytiharkan darurat dan mengarahkan penduduknya untuk berpindah.

Penguatkuasa tempatan melarang pelancong dan orang ramai untuk memasuki Kangaroo Island (Kangaroo Island adalah kawasan wajib pergi bagi pelancong) dimana ia terletak di South Australia kerana kebakaran yang teruk itu.

Apa penyebab kebakaran ini?

Kebakaran dan cuaca yang panas bukanlah sesuatu yang baru bagi penduduk Australia.

Namun, apa yang menyebabkan api membara adalah cuaca panas yang melampau dan ditambah lagi dengan tanah yang kering dan angin yang kuat telah menyebabkan kebakaran ini menjadi kebakaran yang paling teruk dalam sejarah negara itu!

Australia telah merekod cuaca paling panas iaitu 41.9 darjah celsius atau 107.4 Fahrenheit.

Adakah bandar-bandar utama seperti Sydney dan Melbourne selamat untuk dikunjungi?

Walaupun Sydney dan Melbourne tidak terjejas dengan kebakaran, namun, asap tebal daripada kebakaran tersebut telah menjejaskan kualiti udara daerah-daerah berkenaan.

Kebakaran besar itu telah menyebabkan pencemaran udara yang dikhuatiri mempunyai tosik telah menyebabkan kualiti di Victoria naik sehingga lebih 999 — paling teruk di dunia!
Buat pengetahuan semua, indeks kualiti udara yang melebihi 200 boleh menyebabkan kematian, apatah lagi lebih 999!

Langit biru juga tidak lagi kelihatan di Sydney. Hanya langit yang berwarna jingga kemerahan sahaja. Kualiti udara di sana juga direkod antara yang paling teruk di dunia.

Australian Medical Association juga memberi peringatan kepada penduduk tempatan yang sensitif kepada asap atau mempunyai masalah pernafasan untuk elakkan menjalankan aktiviti luar. Penggunaan topeng N95 adalah diutamakan. Peringatan ini juga meliputi pelancong dari luar negara yang ingin melancong ke Australia.

Apa yang perlu saya buat sekiranya saya perlu ke kawasan terjejas dalam masa terdekat?

Pihak berkuasa di sana telah memberi notis kepada pelancong di South Coast of New South Wales untuk meninggalkan kawasan itu kerana api yang sedang membara teruk.

Walaubagaimana pun, menurut Phillipa Harrison, Pengarah Urusan Pelancongan Australia mengingatkan orang ramai bahawa negara Australia merupakan sebuah negara yang sangat besar. Banyak lagi tempat yang tidak terbakar dan pelancong boleh melancong di tempat-tempat tersebut.

Sekiranya anda perlu ke Australia, anda dinasihatkan untuk sentiasa berjaga-jaga dengan kemungkinan yang bakal berlaku. Elakkan berada di tempat-tempat hotspot dan sentiasa membawa topeng N95 ketika menjalankan aktiviti luar.

Bagi yang mempunyai kesihatan yang tidak baik, amat digalakkan untuk mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.