Gunung Bromo antara gunung berapi yang aktif di Indonesia. Namun, walaupun aktif, keindahan pemandangannya yang sangat cantik menarik ramai pelancong dari seluruh pelosok dunia ke sana.

Terletak di Jawa Timur, dikelilingi padang pasir seluas 5,300 hektar, Gunung Bromo merupakan lokasi wajib dilawati sekiranya anda ke Kota Malang atau Surabaya.

Apa yang menarik sangat di Gunung Bromo ni?

Ramai yang sanggup ke sini semata-mata ingin melihat pemandangan matahari naik yang menakjubkan, pada jam 5.45 hingga ke 6.30 pagi.

Anda nak ke Bromo? Jom baca beberapa tips ke sana!

  • Barangan penting

Cuaca di Gunung Bromo pada sekitar pagi sangat sejuk. Boleh mencecah sehingga 2 darjah selsius! 2 darjah selsius tanpa angin boleh tahan lagi, tapi dekat puncak Gunung Bromo ni angin dia kuat gila! Double sejuk!

Maka dengan itu, seeloknya anda bawa winter jacket sebab memang sejuk. Malas nak bawa winter jacket? Tak apa, dekat puncak Gunung Bromo pun ada yang menyediakan servis sewa baju winter. Lebih kurang 23ribu rupiah harganya. Bukan baju winter je disewakan, tikar, selimut pun anda boleh sewa!

Selain itu, penutup mulut pun penting. Sebab krater Gunung Bromo yang aktif mengeluarkan banyak sulfur. Di tambah lagi dengan debu daripada Pasir Berbisik, anda memang dinasihatkan untuk membawa mask.

Selebihnya air minuman, makanan perlu dibawa juga.

  • Pengangkutan

Bab pengangkutan ni paling penting! Kalau anda menginap di Kota Malang, anda perlu menyewa jip kerana jarak ke Gunung Bromo adalah lebih kurang 53km. Selain itu, sekiranya anda ingin mengejar pemandangan matahari terbit, anda perlu bergerak seawal 12 tengah malam.

Sekiranya anda terlambat, bukan saja anda akan terlepas pemandangan yang menakjubkan, tapi anda juga terpaksa berjalan jauh untuk ke puncak. Gunung Bromo juga akan dipenuhi jip yang membawa ramai pelancong. Bergerak awal ke sana dapat mengelakkan anda daripada tersekat dalam machet (traffic jam).

Pengalaman penulis ke Gunung Bromo dari Kota Malang mengambil lebih kurang 2 jam untuk ke puncak Gunung Bromo.

Namun, sekiranya anda menginap di Kota Surabaya, anda perlu menaiki bas awam ke pekan Probolinggo dan transit dengan menaiki van awam menaiki kawasan pergunungan sehinggalah sampai ke Cemero Lawang, sebuah kampung bersuhu dingin yang terletak di kaki Gunung Bromo.

  • Pasir Berbisik

Selepas selesai melihat matahari terbit, kebiasaannya pemandu jip sewaan akan membawa anda ke sebuah padang pasir yang seakan-akan gurun. Padang pasir ini sangat luas!

Padang pasir ini dikenali sebagai Pasir Berbisik, sempena tajuk sebuah filem yang melakukan penggambaran di lokasi ini. Kerana lapisan pasir yang tebal di sini, jip tidak akan dapat sampai ke krater Gunung Bromo jadi anda ada pilihan sama ada merentasinya secara berjalan kaki atau menyewa kuda.   

Bayaran yang dikenakan untuk menyewa kuda ialah 100ribu rupiah untuk seorang.

  • Bukit Teletubbies

Dalam perjalanan ke Gunung Bromo, anda pasti akan melewati sebuah bukit yang menghijau indah! Mesti pelikkan kenapa dipanggil Bukit Teletubbies?

Bukit ini dinamakan Bukit Teletubbies kerana jika sekilas pandang, bentuk bukit ini seakan-akan bukit yang ada dalam kartun popular itu. Bukit ini sering menjadi tumpuan ramai untuk bergambar.

Dan pada anda yang ingin ke Bromo, jangan lupa singgah Bukit Teletubbies!

Kredit: https://www.kopertraveler.id/
  • Kawah Gunung Berapi

Sekiranya anda berjalan di sepanjang Pasir Berbisik ke Kawah Gunung berapi, ia akan mengambil masa sekitar 30 minit. Tapi, kalau anda malas nak berjalan, naik aja kuda!

Untuk ke puncak Kawah Gunung Berapi, anda perlu mendaki 250 anak tangga. Kedengaran banyak, bukan? Tapi percayalah, pemandangannya sangat indah, anda tak sempat nak rasa penat.

Tapi, kalau anda jenis yang cepat semput, tak perlu terlalu laju naik anak tangga itu. Boleh je berehat dan ambil gambar. Kerana di anak tangga itulah port ambil gambar yang paling baik!

Kredit: http://www.bromotour-travel.com/

Apabila berada di puncak, anda akan dihidang dengan pemandang kawah gunung berapi gergasi yang masih berasap. Namun, anda perlu berhati-hati kerana kawah ini masih panas berasap dan menyemburkan gas sulfur yang beracun.

Sejujurnya, memang berbaloi gila untuk anda ke Gunung Bromo! Memang sebuah pengalaman yang tak dapat anda lupakan!